Thursday, March 3, 2016

Langkah-Langkah Yang Akan,Sedang dan Telah Diambil Untuk Menjamin Integriti,Kualiti Dan Kuantiti Sumber Dan Bekalan Air Bersih di Seluruh Negara



Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi memampankan pengurusan sumber air dan pada masa yang sama menambah baik pengurusan bekalan air di seluruh negara supaya integriti dan kualiti air terjamin dan kuantiti air mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air di negara ini. Usaha-usaha tersebut merangkumi tindakan seperti berikut:

(i) melaksanakan pengurusan aset air yang cekap dan efektif seperti menaik taraf dan membaikpulih loji rawatan air, menggantikan paip-paip usang dan mewujudkan sistem agihan yang saling bersambungan bagi menjamin bekalan air yang berterusan semasa krisis;

(ii) menyediakan prasarana bekalan air baru secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan;

(iii) memastikan semua operator air mewujudkan pelan tindakan kecemasan semasa kemarau dan krisis pencemaran air bagi meminimumkan kesulitan pengguna;

(iv) memastikan semua operator air mewujudkan pelan henti tugas secara berjadual disebabkan kerja-kerja naik taraf sistem bekalan air bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air kepada pengguna; dan

(v) mengesyorkan supaya setiap kerajaan negeri membuat pindaan ke atas enakmen air negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan yang membolehkan kawalan dan pengawalseliaan terhadap sumber air dan kawasan tadahan dikuatkuasakan secara sistematik dan berkesan.

Bagi menjamin kualiti sumber dan bekalan air bersih di seluruh negara, Kementerian telah mengambil langkah-langkah berikut:

(i) pengawalseliaan kualiti air melalui program audit teknikal sistem bekalan air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Bekalan Air (JBA) dan menetapkan kualiti air sebagai salah satu Key Performance Indicator (KPI) operator air;

(ii) menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia dalam aspek pemantauan kualiti air melalui Program Kawalan Mutu Air Minum (KMAM) bagi memastikan air terawat selamat untuk digunakan; dan

(iii) menjalin kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan badan kawal selia air negeri dalam memantau pencemaran sumber air.

Manakala langkah-langkah yang diambil untuk menjamin kuantiti sumber dan bekalan air adalah seperti berikut:

i) meningkatkan kecekapan operasi operator air melalui pengawalselian SPAN termasuk memantau dan menetapkan KPI untuk program mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW);

ii) melaksanakan program penyaluran air mentah dan terawat bagi memastikan negeri yang mengalami kekurangan sumber air mempunyai sumber air yang mencukupi;

iii) meneroka sumber-sumber air alternatif seperti air bawah tanah, kolam, tasik, retention pond dan lain-lain untuk dijadikan punca air tambahan dan rizab pada masa hadapan bagi menghadapi masalah pemanasan global (global warming) dan perubahan cuaca dunia (climate change); dan

iv) memupuk kesedaran pengguna bagi menggalakkan penjimatan air serta penggunaan air secara berhemah melalui kempen di media cetak dan elektronik.



Kejayaan untuk memastikan air sentiasa bersih dan mencukupi amat bergantung juga dengan sikap pengguna. Sekiranya pengguna tidak prihatin terhadap pemeliharaan sumber air daripada pencemaran, semua usaha-usaha tersebut di atas tidak akan membuahkan hasil dan boleh menyebabkan negara kehilangan sumber-sumber air yang andal untuk bekalan air di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment